Antara yang dituntut ke atas kita umat Islam terhadap al-Qur’an ialah menelaah (tadabbur) kandungannya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu, yang penuh keberkatan untuk mereka menelaah (tadabbur) kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. [Shad 38:29]
Untuk membolehkan kita menelaah al-Qur’an dan mendapatkan manfaat yang terbaik daripadanya, terdapat sembilan tips atau garis panduan yang perlu diperhatikan. Tips-tips ini berasal daripada petunjuk al-Qur’an itu sendiri, diikuti dengan al-Sunnah dan penjelasan para ilmuan Islam. Berikut disenaraikan garis panduan tersebut:
Tips 1: Memiliki sikap ingin menelaah al-Qur’an
Sikap (attitude) memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang itu akan berjaya atau tidak dalam sesuatu yang diinginkannya. Jika sudah sedia memiliki sikap yang positif, boleh dikatakan setengah daripada apa yang diinginkan telah tercapai. Selebihnya adalah menterjemahkan sikap tersebut kepada usaha dan gerak kerja. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, ia telah diisyaratkan oleh Allah Azza wa Jalla dalam al-Qur’an dengan firman-Nya:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [ar-Ra’d 13:11]
Sebagai contoh, sikap seseorang membezakan sama ada dia ingin menjadikan al-Qur’an sebagai “petunjuk” atau pun tidak. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan perbezaan ini:
Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.
Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu kamu melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah kamu pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” [Ta-Ha 20:123-126]
Demikian juga, peranan al-Qur’an sebagai “yang mengeluarkan dari kegelapan kepada cahaya” bergantung kepada sikap seseorang sama ada dia ingin menggunakan al-Qur’an sebagai suluhan yang menerangi atau tidak. Hal ini diperingatkan oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala:
Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu - bukti dari Tuhan kamu, dan Kami telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi. Maka adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada ia (Al-Quran), maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang membawa kepadaNya. [al-Nisa 4:174-175]
Tidak ketinggalan, pilihan untuk menjadikan al-Qur’an sebagai pembeza antara yang benar dan salah terpulang kepada sikap kita sendiri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]
Pendek kata, menelaah al-Qur’an hanya akan membawa manfaat jika kita memiliki sikap yang positif ke arahnya. Maka garis panduan yang pertama adalah mengubah dan membetulkan sikap kita ke arah menelaah al-Qur’an. Jika kita memiliki sikap yang negatif, maka perlu dicari faktor penyebabnya.
Antara faktor penyebab yang utama ialah kita sendiri tidak kenal kepada al-Qur’an sehingga dengan itu kita tidak berminat untuk menelaahnya. Faktor ini boleh diurus berdasarkan pesanan orang tua kita: “Tidak kenal maka tidak cinta.” Maka cuba-cubalah berkenalan dengan al-Qur’an dengan menelaah ayat-ayatnya daripada apa jua surah atau bahagian al-Qur’an. Pasti dengan beberapa ayat yang pertama tersebut, anda akan mencintai al-Qur’an dan ingin untuk menelaah ayat-ayat seterusnya.
Tips 2: Membersihkan prasangka bahawa menelaah Al-Qur’an akan mengakibatkan kesesatan.
Antara kejayaan terbesar yang dicapai oleh syaitan ialah menjauhkan umat Islam daripada menelaah al-Qur’an. Hal ini berjaya dicapai bukan dengan memusnah atau menyembunyikan al-Qur’an tetapi dengan mempengaruhi umat Islam bahawa kononnya menelaah al-Qur’an akan mengakibatkan kesesatan.
Ingin penulis mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan para pembaca sekalian kepada salah satu strategi syaitan yang amat merbahaya. Sama-sama kita ketahui bahawa objektif syaitan ialah menyesatkan manusia. Strategi syaitan untuk mencapai objektif ini bukanlah secara terus terang. Sebagai contoh, syaitan tidak datang kepada seseorang dengan berkata kepadanya: “Wahai Roslan, izinkan saya perkenalkan diri. Saya ialah syaitan. Saya datang kepada anda untuk menyesatkan anda. Marilah ikut saya.”
Akan tetapi strategi syaitan ialah memperindahkan apa yang sebenarnya buruk sehingga seseorang itu akan menyangka ia adalah petunjuk padahal yang benar ia adalah kesesatan. Ini sebagaimana yang dikhabarkan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan syaitan memperindahkan kepada mereka apa yang mereka lakukan. [al-An‘aam 6:43]
Antara yang diburuk-burukkan oleh syaitan ialah mempengaruhi manusia bahawa kononnya menelaah al-Qur’an akan mengakibatkan kesesatan. Atas pengaruh ini umat Islam menjauhkan diri daripada menelaah al-Qur’an dan mereka anggap ia adalah perbuatan yang baik lagi indah kerana “memelihara diri daripada kesesatan.” Malah pengaruh syaitan ini sehingga ke tahap umat Islam menganggap diri mereka berada di atas petunjuk yang benar. Allah Azza wa Jalla membongkarkan hakikat ini dengan firman-Nya:
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan, lalu menjadilah syaitan itu teman yang tidak renggang daripadanya.
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [az-Zukhruf 43:36-37]
Yang benar menelaah al-Qur’an tidak akan mengakibatkan kesesatan kerana al-Qur’an itu sendiri adalah petunjuk ke arah jalan yang benar, menjauhi jalan yang sesat. Bukankah Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memperkenalkan al-Qur’an kepada kita sebagai yang memberi petunjuk:
Alif-Lam-Mim. Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Yang penting hendaklah seseorang itu menelaah al-Qur’an dengan ikhlas, semata-mata kerana ingin menjadikannya sebagai petunjuk kepada jalan yang lurus, cahaya yang menerangi kegelapan, pembeza antara yang benar dan salah, penghidup rohani, kunci kemuliaan dan cara mengenali Allah. Jika dia ikhlas dengan tujuan-tujuan tersebut nescaya dia akan mendapati Allah menjadi pemimpinnya dalam menelaah al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan hakikat ini:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]
Selain itu hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan apabila membaca dan menelaah al-Qur’an. Firman Allah:
Oleh itu, apabila kamu membaca Al-Quran, maka hendaklah kamu (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam. [an-Nahl 16:98]
Selagi mana seseorang itu ikhlas dalam menelaah al-Qur’an dan meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan, tidak sekali-kali al-Qur’an itu akan menyesatkannya.
Tips 3: Menyedari bahawa al-Qur’an diturunkan oleh Allah.
Seandainya mendapat surat daripada orang yang penting di dalam kehidupan kita, nescaya kita akan terus membacanya dengan penuh perhatian, debaran dan perasaan ingin tahu apakah kandungan surat tersebut. Jika surat tersebut agak panjang, kita akan mencari tempat dan suasana yang paling selesa untuk menelaah surat tersebut. Jika surat tersebut merupakan perintah, kita akan berusaha untuk melaksanakan perintah tersebut secepat mungkin, sebaik mungkin. Jika begitulah sikap kita terhadap surat yang datang daripada sesama manusia, maka bagaimanakah sikap kita terhadap al-Qur’an yang datang daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala?
Antara tips yang penting dalam menelaah al-Qur’an adalah menyedari bahawa ia diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla. Firman Allah:
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya. Dia menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran. [Ali Imran 3:2-3]
Sedang al-Quran itu, demi sesungguhnya, ialah sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan (Allah) Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. [Fushshilat 41:41-42]
Turunnya al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azab-Nya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah tempat kembali. [al-Mu’min 40:2-3]
Apabila seseorang itu sedar bahawa al-Qur’an datang daripada Allah, maka dia akan memahami dan merasai ayat berikut:
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang (keterangannya dengan berbagai cara);
(Oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati setelah mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. [az-Zumar 39:23]
Dengan kesedaran ini, hendaklah kita sebelum menelaah al-Qur’an:
1. Memilih suasana yang paling tenang, tidak sibuk memikirkan hal-hal lain. Janganlah menelaah al-Qur’an sambil mendengar radio, menonton televisyen atau bermain dengan anak-anak. Khas bagi yang terakhir, hendaklah pada giliran tertentu seorang ayah mengambil alih menjaga anak-anak agar dapat memberi ruang bagi ibu menelaah al-Qur’an.
2. Memilih masa yang paling menyegarkan, seperti pada waktu malam selepas qiamulail atau pada waktu awal pagi sebelum atau selepas solat subuh. Tidak disyorkan menelaah al-Qur’an setelah pulang daripada pejabat atau ketika keletihan. Menelaah al-Qur’an pada waktu awal pagi dianjurkan oleh al-Qur’an sendiri:
Dan bacalah al-Qur’an pada waktu subuh (kerana) sesungguhnya membaca al-Qur’an pada waktu subuh disaksikan (keistimewaannya). [al-Isra’ 17:78]
3. Duduk dalam posisi yang paling selesa agar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada al-Qur’an.
Suasana, masa dan posisi duduk pasti berbeza di antara individu yang berbeza. Di sini penulis tidak menetapkan hal tersebut tetapi membiarkannya kepada para pembaca sesuai dengan citarasa masing-masing.[1] Setelah itu hendaklah kita menelaah al-Qur’an:
1. Dengan harapan ingin tahu pengajaran setiap ayat, bukan dengan harapan ingin tahu penghabisannya seperti membaca novel.
2. Dengan membandingkan pengajaran setiap ayat dengan dirinya sendiri dan mengambil iktibar daripadanya, bukan dengan pembacaan sekali lintas (speed reading) sehingga manfaat yang diperoleh amat sedikit.
3. Dengan mengulang-ulangnya, kerana setiap telaah yang diulang pasti akan membuahkan penemuan yang baru. Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang amat kaya sehingga tidak mungkin semua manfaatnya dapat diperoleh dengan sekali lalu. Seseorang itu boleh khatam membaca al-Qur’an tetapi dia sekali-kali, sepanjang hidupnya, tidak boleh khatam menelaah al-Qur’an.
Tips # 4: Menyedari bahawa al-Qur’an ditujukan kepada diri kita sendiri.
Setelah menyedari bahawa al-Qur’an datangnya daripada Allah, hendaklah kita sedari pula bahawa ia ditujukan kepada kita. Kita di sini tidak terhad kepada umat Islam secara umum, tetapi khusus bagi setiap individu yang sedang menelaah al-Qur’an. Setiap individu yang sedang menelaah al-Qur’an hendaklah menganggap seolah-olah al-Qur’an sedang berinteraksi dengannya, iaitu berbicara kepadanya, memberi amaran kepadanya, menegurnya, menasihatinya, menyuruhnya, melarangnya dan seterusnya. Tiada layak bagi seseorang itu menelaah al-Qur’an lalu menepis sebahagian daripada ayatnya dengan berkata: “Ahh! Ayat ini tiada kaitan dengan aku…”
Berikut diberikan satu contoh bagaimana berinteraksi dengan beberapa ayat pertama surah al-Baqarah:
Alif, Laam, Miim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. [al-Baqarah 2:1-3]
Ayat di atas berinteraksi dengan kita dengan cara:
1. “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya…”, ia memberi kesedaran kepada kita bahawa kitab yang sedang kita telaah sekarang ini ialah sebuah kitab yang tidak memiliki sebarang keraguan tentang keaslian asal usulnya, kesempurnaannya dan kebenarannya.
2. “…ia pula menjadi petunjuk…”, bertanyalah kepada diri kita, adakah kita memerlukan petunjuk? Jawapannya pasti “Ya”, maka dengan itu inilah al-Qur’an yang menjadi petunjuk kepada kita kepada jalan yang lurus.
3. “…bagi orang-orang yang bertaqwa…” , kita bertanya, apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa? Jawapannya boleh dirujuk kepada ayat seterusnya:
4. “…iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib…” , pertanyaan kita dijawab oleh al-Qur’an, bahawa ciri-ciri pertama orang yang bertaqwa ialah beriman kepada perkara ghaib seperti azab kubur, syurga-neraka dan sebagainya. Pertanyaan beralih kepada diri kita, adakah kita beriman dengan perkara-perkara ghaib berdasarkan pengkhabaran wahyu atau adakah kita menafikannya semata-mata kerana ia tidak logik mengikut ukuran logik akal?
5. “…dan mendirikan sembahyang…” , ciri kedua orang yang bertaqwa adalah mendirikan sembahyang. Kita kembali bertanya kepada diri kita, adakah kita termasuk dalam orang-orang yang mendirikan sembahyang. Jika “Ya”, adakah ia secara bersendirian atau berjamaah? Adakah anak isteri kita juga mendirikan sembahyang?
6. “…serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” , ciri ketiga ialah membayar zakat harta dan bersedekah. Sekali lagi pertanyaan kembali mengarah kepada diri kita, adakah kita sudah menunaikan zakat harta tahunan. Adakah sedekah yang kita berikan hanya sekadar duit siling sekali seminggu padahal rezeki Allah kepada kita setiap hari melimpah-limpah?
Jika kita telah memenuhi ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana di atas, hendaklah kita bersyukur dan beristiqamah dengannya. Jika belum, maka hendaklah berusaha tanpa berlengah-lengah lagi.
Demikian satu contoh bagaimana kita berinteraksi dengan al-Qur’an ketika mentelaahnya. Apabila kita sentiasa mentelaah al-Qur’an secara berulang-ulang, kita akan sentiasa dalam keadaan menilai diri kita selari dengan ukuran al-Qur’an. Inilah maksud penulis sebelum ini bahawa kita tidak sekali-kali boleh khatam mentelaah al-Qur’an.
Tips # 5: Menjadikan al-Qur’an pemimpin, bukan sebaliknya.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam bersabda:
القُرآنُ شَافِعُ مُشَفَّعٌ، وَمَاحِلٌ مُصَّدَّقٌ، مَنْ جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إِلَى النَّارِ.
Al-Qur’an adalah syafa’at yang diterima dan penghujah yang dibenarkan. Sesiapa yang meletakannya di hadapan maka ia (al-Qur’an) akan memimpinnya ke syurga dan sesiapa yang meletakannya di belakang ia akan menolaknya ke neraka.[2]
Apabila menelaah al-Qur’an, amatlah penting untuk membebaskan minda kita daripada sesuatu pegangan yang sudah menapak di dalamnya. Yang dimaksudkan sebagai pegangan ialah apa-apa doktrin, kefahaman, aliran, pemikiran dan sebagainya. Ini kerana jika kita sudah sedia memiliki sesuatu pegangan, kita tidak akan memanfaatkan peranan al-Qur’an sebagai petunjuk, cahaya yang menerangi dan seterusnya. Sebaliknya, kita sendiri yang akan menunjuk dan menerangi al-Qur’an kepada apa yang sudah sedia kita pegang. Dalam ertikata lain, kita sebenarnya sedang memimpin al-Qur’an.
Oleh itu sebelum menelaah al-Qur’an, hendaklah kita membebaskan minda, membukanya dan menundukkannya. Hanya dengan cara ini kita dapat memanfaatkan peranan al-Qur’an sepenuhnya. Dalam ertikata lain, kita membiarkan al-Qur’an memimpin kita.
Garis panduan ini memiliki kedudukan yang penting dalam suasana umat Islam yang sejak dahulu telah dijajah dengan pelbagai pegangan seperti Islam Sekular, Islam Liberal, Islam Sosialis, Islam Demokrasi dan sebagainya. Kita telah dijajah oleh semua pegangan ini sebelum kita menelaah al-Qur’an dan mencari pegangan yang sebenar. Justeru kita perlu memerdekakan minda daripada apa-apa jajahan sebelum menelaah al-Qur’an. Seterusnya kita membiarkan al-Qur’an menjajah dan memimpin kita. Jika al-Qur’an adalah pemimpin kita, sebagaimana tegas Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam dalam hadisnya di atas, ia akan memimpin kita terus ke syurga.
Tips # 6: Mengukur realiti dengan al-Qur’an, bukan sebaliknya.
Apabila menelaah al-Qur’an, kita akan menemui beberapa ayat yang menjanjikan umat Islam sebagai umat yang terbaik, berjaya dan memperoleh kemenangan. Namun pada realitinya umat Islam amatlah jauh daripada janji-janji tersebut, malah merupakan umat yang paling hina lagi murah nyawanya. Hakikat ini akan menimbulkan pertanyaan, bagaimanakah janji-janji al-Qur’an jika dibandingkan dengan realiti umat masa kini? Realiti pasti sahaja benar, justeru apakah al-Qur’an tidak benar?
Jawapannya, realiti dan al-Qur’an sama-sama adalah benar. Yang salah adalah cara kita yang mengukur al-Qur’an dengan realiti padahal yang benar hendaklah realiti diukur dengan al-Qur’an. Ini kerana kita hanya mengetahui realiti berdasarkan apa yang zahir kelihatan. Namun apabila realiti tersebut diukur dengan al-Qur’an, kita akan dapat mengetahui hakikat yang sebenar di sebaliknya.
Sebagai contoh, realiti umat Islam masa kini yang dihina dan dibunuh di sana sini boleh diukur dengan al-Qur’an seperti berikut. Firman Allah:
Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) serta kamu menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang).
Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman. [Ali Imran 3:152]
Ayat di atas menerangkan realiti yang berlaku ke atas umat Islam yang kalah dalam Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut ramai pejuang Islam radhiallahu 'anhum gugur sehinggakan Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam sendiri mengalami kecederaan. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa pada asalnya janji Allah sememangnya adalah untuk memberi kemenangan kepada umat Islam. Akan tetapi apabila umat Islam tidak bersemangat untuk berjuang, saling berbalah antara satu sama lain, menderhaka perintah-larangan Rasulullah dan menghendaki keuntungan dunia, Allah tidak lagi memberikan mereka kemenangan.
Sekarang marilah kita mengukur realiti umat Islam masa kini dengan ayat di atas:
1. Adakah umat Islam masa kini memiliki semangat dan azam yang tinggi untuk membela Islam?
2. Adakah umat Islam masa kini sering kali berbalah dan berperang sesama sendiri?
3. Adakah umat Islam masa kini mentaati perintah-larangan Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam atau membelakangkannya?
4. Adakah umat Islam masa kini mengunggulkan kecintaan keuntungan duniawi di atas kecintaan ukhrawi?
Kebanyakan umat Islam masa kini tidak memiliki azam untuk membela agama mereka mahupun untuk mengikuti dan mentaati sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam. Pada waktu yang sama kebanyakan umat Islam masa kini banyak memberi tumpuan kepada berbalah dan berperang sesama sendiri, manakala masa selebihnya ditumpukan kepada meraih keuntungan duniawi. Justeru salah siapakah umat Islam masa kini dihina dan dibunuh? Jawapannya terdapat di dalam al-Qur’an:
Dan apabila kamu ditimpa musibah (yakni kekalahan dalam Perang Uhud), padahal (sebelum itu) kamu telahpun memenangi (peperangan) seperti itu sebanyak dua kali ganda (yakni kemenangan dalam Perang Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (musibah) ini?”
Katakanlah: “(Musibah) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri.” Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Ali Imran 3:165]
Dalam contoh di atas, kita telah mengukur realiti dengan al-Qur’an. Dengan cara ini, kita memperoleh jawapan kepada sebab yang mengakibatkan realiti tersebut. Dengan mengetahui sebab, kita dapat berusaha untuk membetulkannya dan mengelak realiti yang sama daripada berulang lagi.
Oleh itu sekali lagi diulangi, hendaklah mengukur realiti dengan al-Qur’an. Dengan cara ini kita akan mengetahui sebab di sebalik sesuatu realiti dan kemudian berusaha untuk mengubah realiti dengan mengubah faktor penyebabnya. Sebaliknya jika kita mengukur al-Qur’an dengan realiti, kita akan berakhir dengan mempersoalkan kebenaran al-Qur’an. Apabila al-Qur’an dipersoalkan, kita tidak lagi akan dapat memanfaatkan peranan al-Qur’an khasnya dalam mengubah realiti.
Tips 7: Membebaskan al-Qur’an daripada batasan orang, masa dan tempat.
Terdapat segelintir orang yang menganggap al-Qur’an hanyalah untuk umat Islam pada zaman ia diturunkan. Mereka berkata al-Qur’an hanyalah untuk orang Arab yang memakan biawak liar (dhab) pada zaman padang pasir. Pada masa kini al-Qur’an tidak memiliki apa-apa manfaat kepada umat Islam kecuali dibaca ayat-ayatnya sebagai satu bentuk ibadah.
Sebenarnya peranan al-Qur’an kepada umat Islam adalah bebas daripada batasan orang, masa dan tempat. Tidak dinafikan bahawa dalam al-Qur’an terdapat ayat-ayat yang pada asalnya membicarakan sesuatu individu, kaum, tempat, peristiwa dan sebagainya. Namun dalam kita menelaah dan memanfaatkan al-Qur’an, yang diambil adalah keumuman pengajarannya dan bukan kekhususan orang, masa dan tempatnya. Perhatikan Tips # 6 di atas di mana kita telah memanfaatkan keumuman ayat yang pada asalnya membicarakan peristiwa Perang Uhud.
Tips 8: Tidak mentafsirkan al-Qur’an.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
وَإِنَّمَا نَزَلَ كِتَابَ اللهِ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بِعْضًا. فَلاَ تُكَذِّبُوْا بَعْضَهُ بِبَعْضٍ. فَمَا عَلِمْتُمْ مِنْهُ فَقُوْلُوْا وَمَا جَهِلْتُمْ فَكِلُوْهُ إِلَى عَالِمْهِ.
Sesungguhnya kitab yang diturunkan oleh Allah (al-Qur’an), sebahagian ayatnya membenarkan sebahagian ayat yang lain. Maka janganlah kamu mendustakan sebahagian ayatnya dengan sebahagian yang lain.
Maka ucapkanlah tentang apa yang kamu ketahui tentangnya dan serahkanlah kepada orang-orang yang alim jika kamu tidak mengetahui tentangnya.[3]
Merujuk kepada rangkap terakhir daripada sabda Rasulullah di atas, dapat difahami bahawa apabila menelaah al-Qur’an, terdapat sebahagian ayat yang secara mudah dapat kita tangkap manfaatnya manakala terdapat sebahagian lain yang tidak mudah untuk ditangkap manfaatnya. Ini kerana al-Qur’an adalah sebuah kitab yang amat kaya yang mana kekayaannya tidak mudah ditangkap dan diambil oleh semua orang. Orang yang berbeza-beza tahap ilmunya akan menangkap manfaat yang berbeza-beza sekalipun terhadap satu kitab yang sama. Lebih dari itu, setiap bacaan yang berulang akan menghasilkan manfaat baru yang tidak diperoleh sebelumnya. Maka manfaatkanlah sekadar apa yang dapat ditangkap dan serahkanlah yang selebihnya kepada orang yang mengetahui.
Pengajaran yang penting di sini adalah, jangan kita cuba menafsir sesuatu ayat yang tidak dapat kita tangkap manfaatnya. Yang dimaksudkan dengan menafsir ialah mendalami, mengupas, memperinci dan memperluaskan sesuatu ayat. Secara lumrah, kecenderungan adalah memaksa diri untuk cuba menafsir ayat yang tidak dapat kita tangkap manfaatnya. Jangan dilayan kecenderungan tersebut. Ini kerana jika kita cuba menafsir sesuatu ayat tanpa ilmu, kita sebenarnya menjerumuskan diri kepada “…memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-A’raaf 7:33] Ini adalah satu kesalahan yang amat berat sebagaimana telah dikupas dalam penulisan “Berkenalan dengan al-Qur’an.”
Perlu digariskan bahawa untuk menafsir al-Qur’an, seseorang itu wajib terlebih dahulu menguasai pelbagai lapangan ilmu seperti ilmu bahasa Arab, ilmu usul tafsir, ilmu hadis, hadis dan keseluruhan kitab al-Qur’an itu sendiri. Pengetahuan tentang hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah penting kerana Rasulullah adalah “pakar tafsir” yang terunggul. Ini kerana salah satu tugas Rasulullah ialah menjelaskan al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan Kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. [an-Nahl 16:44]
Penjelasan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang al-Qur’an tidak terhad kepada kata-kata tetapi juga perbuatan dan pengiktirafan baginda. Dua yang terakhir ini dianggap sebagai penafsiran al-Qur’an yang diterjemahkan Qur’an dalam bentuk perbuatan.[4]
Pengetahuan tentang ilmu hadis tidak kurang pentingnya supaya kita dapat membezakan antara hadis sahih (benar), dha‘if (lemah) atau maudhu’ (palsu). Apabila kita berjaya menguasai ilmu hadis, kita dapat mengetahui sama ada sesuatu tafsiran itu benar-benar datang daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau sebaliknya.
Pasti ini semua ini adalah satu kewajipan yang tidak mampu dikuasai oleh setiap individu Islam. Maka kerana itulah Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam dalam hadisnya di atas menasihatkan kita agar bertanya kepada orang yang mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
Cara bertanya yang terbaik ialah merujuk kepada kitab-kitab tafsir al-Qur’an. Di sini ingin penulis nasihatkan para pembaca sekalian bahawa apabila menelaah al-Qur’an, hendaklah dia memiliki dua buah kitab:
Pertama adalah kitab terjemahan al-Qur’an. Kitab terjemahan al-Qur’an lazimnya terdiri daripada satu jilid dan ia dicetak bersama-sama dengan teks Arab al-Qur’an. Pada masa kini kitab terjemahan al-Qur’an sudah tersedia dalam pelbagai bahasa. Perbezaan penterjemah dan bahasa terjemahan tidak memiliki kesan yang besar kerana kita hanya menelaah, bukan menafsir al-Qur’an.[5]
Kedua adalah kitab tafsir al-Qur’an. Kitab tafsir lazimnya terdiri daripada beberapa jilid yang besar jumlahnya. Di sini perlu dibezakan bahawa terdapat sebahagian kitab terjemahan al-Qur’an yang menggunakan judul “Tafsir” , seperti Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Syaikh Abdullah Basmeih rahimahullah. Ini bukanlah kitab tafsir yang penulis maksudkan. Sebagai satu garis panduan pembeza yang mudah, kitab tafsir jarang-jarang terdiri daripada satu atau dua jilid.
Berdasarkan dua buah kitab ini, apabila menelaah al-Qur’an, gunakanlah kitab terjemahan. Apabila menemui apa-apa ayat yang tidak dapat ditangkap manfaatnya, rujuklah kepada kitab tafsir al-Qur’an. Di samping itu, boleh juga menelaah al-Qur’an dengan membaca kitab tafsir. Ini adalah pilihan yang lebih baik khasnya kepada individu yang was-was atau sukar menangkap apa-apa manfaat daripada kitab terjemahan al-Qur’an.
Harga kitab tafsir al-Qur’an lazimnya adalah agak tinggi. Nasihat penulis, janganlah dipandang kepada harga tetapi pandanglah kepada manfaat di sebaliknya.
Tips # 9: Mempraktikkan apa yang ditelaah daripada al-Qur’an.
Menelaah al-Qur’an bukanlah seumpama membaca novel atau sekadar latihan ilmiah. Akan tetapi ia adalah satu tindakan yang memiliki matlamat yang besar di sebaliknya, iaitu supaya dapat dipraktikkan manfaatnya dalam kehidupan seharian. Maka sebagai tips terakhir, praktikkanlah sekadar mampu atau bertahap-tahap apa jua manfaat yang telah diperoleh daripada menelaah al-Qur’an.
Apabila kita mula mempraktikkan al-Qur’an dalam kehidupan, nescaya akan timbul kesan bahawa kita sedang memulakan satu kehidupan yang baru. Bukan sekadar baru tetapi bermatlamat, terarah dan terurus. Kita sentiasa merasa tenang, lapang dan segala-galanya menjadi mudah. Mempraktikkan al-Qur’an di dalam kehidupan memberi kesan seolah-olah kita hidup di bawah naungan al-Qur’an.
Semua ini akan menyebabkan kita lebih bersungguh-sungguh untuk menelaah al-Qur’an, sekalipun berulang-ulang, demi mencari manfaat seterusnya. Namun untuk merasai kesan yang pertama kepada diri kita, kita perlu terlebih dahulu menelaah al-Qur’an berdasarkan garis-garis panduan yang disenarai di atas.
Ayuh, tunggu apa lagi?
Rujukan: Mari Berkenalan Dengan Al-Quran (Ustaz Hafiz Firdaus)
0 comments