Soalan:
Adakah tazkirah pada bulan Ramadhan ini mengikut sunnah, kalau tidak adakah ia bid'ah? Kalau bid'ah apakah alasan ianya dilakukan.
Jawapan:
Alhamdulillah , Segala Puji-pujian hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Terima Kasih di atas soalan saudara tersebut . Marilah kita meneliti butiran-butiran di bawah ini dengan cermat dan sikap berlapang dada agar setiap permasalahan yang dihadapi oleh saudara/I seagama kita dapat diselesaikan dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Al-Quran Al-Karim dan Sunnah yang mulia. Tazkirah dan Zikir , kedua-duanya diambil daripada suku-katanya yang asal iaitu DZAKARA yang semuanya itu membawa maksud : PERINGATAN @ INGAT @ SEBUTAN .
Tidak syak lagi , Al-Quran Al-Karim adalah sebuah wahyu ( Kitab ) yang diturunkan pada Bulan Ramadhan yang mulia sesuai dengan apa yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Baqarah , Ayat 185 yang bermaksud :
“ (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)…. “
Kerana itu , tidak hairanlah mengapa Bulan Ramadhan Al-Mubarak dikenali juga sebagai “ Bulan Al-Quran “ .
Al-Quran Al-Karim itu sendiri mempunyai berbagai nama dan gelaran , sebagai mana yang dijelaskan sendiri oleh Al-Quran Al-Karim , di antaranya :
( 1 ) – Adz-Zikr
“ Dan sesunggunya Kami telah memudahkan Al-Quran iaitu untuk dijadikan peringatan , maka siapakah yang mahu mengambilnya sebagai peringatan ? “ ~ Surah Al-Qamar : Ayat 17 , 22 , 32 dan 40 .
( 2 ) – At- Tazkirah
“Kami tidak menurunkan Al Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah , tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah) “ ~ Surah Toha : Ayat 2 & 3
( 3 ) – Zikri
Kadang-kadang Al-Quran Al-Karim itu sendiri “ disandarkan “ sebutannya kepada Zat Allah Ta’ala demi untuk lebih memuliakan lagi Al-Quran Al-Karim dan sebagai bukti yang muktamad bahawa ianya memang benar-benar wahyu daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala . Contohnya ayat di bawah ini yang bermaksud :
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". ~ Surah Toha : Ayat 124 .
Baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah menjanjikan sebuah “ hadiah yang cukup lumayan “ bagi sesiapa sahaja yang melakukan IHYA’ RAMDHAN ( Menghidupkan dan memakmurkan Bulan Ramdhan ) dengan sabdanya :
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu “ . ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (rh) di dalam sahihnya : Kitab Al-Iman , Bab : Tatowwu’ Qiyam Ar-Ramadhan Minal Iman , No. Hadis : 37 - Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim (rh ) 1 / 789 , Imam Abu Daud (rh) 2 / 1371 , Imam At-Tirmidzie (rh) 3 / 808 , Imam An-Nasai (rh) 3 / 1601 dan Imam Ibnu Majah (rh) 1 / 1326 .
Daripada hadis di atas , dan dengan alasan-alasan daripada petikan-petikan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim di atas , dapatlah kita menyimpulkan bahawa : TAZKIRAH ADALAH MERUPAKAN SALAH-SATU DARIPADA CARA-CARA YANG DIAMALKAN UNTUK MENGHIDUPKAN DAN MEMAKMURKAN BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK !!
Baginda Rasulullah s.a.w sendiri merupakan seorang Rasul ( utusan Allah Ta’ala ) yang ditugaskan untuk menyampaikan Al-Quran Al-Karim kepada manusia , dengan menjelaskannya berdasarkan huraian-huraian melalui Sunnah Baginda s.a.w .
Tidak tergambar di fikiran kita yang Baginda Rasulullah s.a.w meninggalkan ( tidak menyampaikan ) pesanan-pesanannya dan sabda-sabdanya , khasnya di dalam saat dan bulan yang sangat mulia dan besar faedahnya untuk umat Islam seperti Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini . Dan pesanan-pesanan Baginda s.a.w itu bolehlah juga kita namakan sebagai TAZKIRAH ( Peringatan ) kerana semua kalam dan sabda Baginda s.a.w adalah untuk “ menghidupkan “ hati-hati yang mati dan sebagai “ peringatan = tazkirah “ kepada hati-hati yang mudah lalai dan lupa .
Lantaran itu , tazkirah bukanlah Bid’ah di dalam agama kita , melainkan ianya sebenarnya adalah satu sunnah !!!
Ada segelintir umat Islam yang diberikan amanah dan kuasa oleh Allah Ta’ala untuk mentadbir hal-ehwal umat Islam telah MENYALAH-GUNAKAN kuasa mereka itu untuk menyekat manusia daripada mengingati Allah Ta’ala , contohnya dengan MENYEKAT DAN MENGHALANG SEBARANG TAZKIRAH DI SEPANJANG IBADAH SOLAT TARAWIH DI BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK .
Tidak syak lagi ini merupakan satu bentuk kekufuran yang menyamai kekufuran kaum Musyrikin Mekkah yang sentiasa menghalang sebarang bentuk dan jenis dakwah itu disampaikan kepada seluruh manusia . Selain itu , halangan seperti itu juga adalah satu BID’AH YANG DHOLALAH ( SESAT ) LAGI MUNKARAH ( MUNGKAR ) yang perlu ditentang oleh setiap umat Islam yang cintakan agamanya .
Tindakan menyekat sebarang tazkirah di dalam Bulan Ramadhan ini merupakan satu JENAYAH terhadap perkembangan dakwah Islam itu sendiri , samalah dengan usaha menyeragamkan teks-teks khutbah Jumaat . Masakan boleh khutbah-khutbah Jumaat diseragamkan , sedangkan di setiap kawasan mempunyai masalah yang berlainan dan masalah seperti inilah yang perlu di”high-light”kan ( diumumkan dan diwar-warkan ) di dalam khutbah-khutbah Jumaat , demi perhatian semua . Sebagai contoh : Di Kuala Lumpur berlakunya jenayah kolar putih , maka perkara inilah yang perlu menjadi topik khutbah Jumaat di saat itu bagi penduduk K. Lumpur . Bukannya khutbah yang bertopikkan “ ZAKAT PADI DAN TANAM-TANAMAN “ , kerana penduduk K. Lumpur bukanlah mereka yang berkerja sebagai di sawah-sawah bendang !!! . Dan tidak masuk akal juga jika masalah utama yang dihadapi oleh sesebuah masyarakat bandar – contohnya : MASALAH BURSA SAHAM – dibincangkan di kawasan-kawasan pedalaman dan ulu-ulu kampung , kerana ianya tidak-ada kena mengena dengan keadaan semasa yang dihadapi oleh sesebuah masyarakat ulu dan pedalaman !!! .
Bukankah di dalam bulan seperti Bulan Ramadhan inilah meyaksikan ramainya manusia berduyun-duyun menziarahi rumah-rumah Allah Ta’ala untuk menghidupkan Ibadah Ramadhan ? .
Dan tidakkah ini merupakan PELUANG TERBAIK untuk setiap umat Islam , khasnya bagi A.J.K masjid-masjid dan surau-surau untuk “menarik hati manusia “ ke rumah-rumah Allah Ta’ala agar mereka dapat juga memenuhi rumah-rumah Allah Ta’ala selepas Ramadhan Al-Mubarak ?
Tidakkah dengan adanya peluang seperti kedatangan bulan Ramadhan ini , kita dapat menyampaikan informasi mengenai Islam kepada penganut-penganutnya dengan mudah lantaran ramainya manusia yang membanjiri rumah-rumah Allah Ta’ala ? .
Alangkah malangnya umat Islam andainya peluang keemasan seperti ini dilepaskan begitu sahaja ataupun disia-siakan ataupun dihalang , walhal orang-orang bukan Islam , contohnya masyarakat Kristian , mereka bukan sahaja menjadikan Hari Ahad sebagai hari untuk mereka memenuhi gereja-gereja denganmenunaikan sembahyang , bahkan di hari itulah mereka mengambil peluang untuk mendengar ceramah-ceramah agama mereka dan berkumpul untuk menyusun strategi mereka !? .
Apakah kita tidak mahu berfikir mengenai hal itu ??? . Ataupun hati-hati kita sebenarnya “ telah mati “ ??? .
Kita boleh memilih untuk melakukan hal-hal berikut :
1 – Mengadakan solat terawih dan solat witir sebanyak 11 Rakaat , dibaca padanya Al-Quran secara tersusun dan elok serta diselitkan di antara rakaat-rakaat sembahyang itu TAZKIRAH - Pada pandangan saya , perkara ini mudah untuk dilakukan dan tidak memakan masa yang panjang serta tidak pula menimbulkan kebosanan di kalangan jemaah sesebuah masjid @ surau .
2 – Ataupun diadakan Solat Terawih dan Solat Witir sebanyak 23 Rakaat , dibaca padanya Al-Quran secara tersusun dan elok serta diselitkan di antara rakaat-rakaat sembahyang itu TAZKIRAH ~ Pada pandangan saya , perkara ini tentulah akan memakan masa yang agak panjang .
3 – Ataupun , kita meninggalkan semua kebaikan dan manfaat di atas , lalu kita memilih untuk melakukan Solat Terawih dan Solat Witir sebanyak 23 Rakaat , dibaca pula Al-Quran Al-Karim secara “ tonggang-langgang “ , “ kucar-kacir “ seperti sesetengah imam yang membaca Al-Fatihah dengan satu nafas . Lalu jadilah Solat Terawih dan Solat Witir itu TIADA NILAINYA @ KUALITINYA dan jadilah ia dilakukan dengan ala “ patuk ayam “ dan “ ekspres “ . Dan tidak pula diadakan sebarang tazkirah padanya disebabkan semua manusia sudah terburu-buru untuk menyelesaikan 23 rakaat secara “ ekspres “ itu !!! .
Tepuklah dada , tanyalah iman masing-masing , di antara ketiga-tiga pilihan di atas , yang mana satukah lebih tepat dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w dan lebih bermanfaat serta mudah untuk dilaksanakan oleh umat Islam di Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini !!! .
Jelasnya , Tazkirah di sepanjang Bulan Ramadhan Al-Mubarak ( dan di luar Bulan tersebut ) , bukanlah BID’AH DHOLALAH & MUNKARAH sama-sekali !!! .
Yang jelas bid’ahnya ialah melakukan Solat Terawih dan Witir di dalam keadaan “ terburu-buru “ . Tambahan pula jika tazkirah dihalang tetapi perbuatan merokok di serambi-serambi masjid dan surau tidak pula dihalang , ataupun perbuatan berborak-borak kosong ( yang tiada kaitannya dengan kepentingan umat Islam ) dilakukan tanpa sebarang teguran daripada pihak masjid @ surau - INI LEBIH JELAS BID’AHNYA DAN MUNGKARNYA !!!
Mudah-mudahan umat Islam tidak terus dibodohkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menyalah-gunakan kuasa mereka untuk melemahkan pemikiran umat Islam .
Ya Allah Ya Tuhan Kami ! Kami mengadu kepada-Mu akan lemahnya diri-diri kami , kurangnya strategi-strategi kami , dan hinanya kami akibat dipermainkan-mainkan . Wahai Tuhan bagi Golongan yang tertindas , Dikaulah Tuhan kami !!
Wahai Tuhan Kami ! Kami meletakkan orang-orang yang menindas kami itu di dalam kekuasaan-Mu , dan kami berlindung daripada setiap tipu-muslihat dan perancangan-perancangan jahat mereka . Ya Allah ! Kami serahkan mereka yang selalu menindas kami dan pemikiran kami ini kepada-Mu. Hancurkanlah kumpulan mereka ! , Porak-Perandakanlah kesatuan mereka ! , Gegarkanlah Kedudukan-kedudukan mereka ! Dan hantarkanlah kepada mereka anjing-anjing mereka sendiri untuk memusnahkan keangkuhan mereka .
Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa ! Wahai Tuhan Yang Maha Gagah ! Wahai Tuhan Yang Tiada Tandingan-Nya ! Perkenankanlah Seruan dan Doa kami ini . Amin Ya Rabbal ‘Alamin !!! .
Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
0 comments