" MENUJU AL - FALAH "



“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu, agar tidak menyekutukan sesuatu denganMu, sedang aku mengetahuinya dan memohon ampun terhadap apa yang tidak aku ketahui.” (HR. Ahmad)
Image Hosted by ImageShack.us

Ilmu Faraid Semakin Pupus

Posted by bro_JSE 28 June 2008

Baru-baru ini, seorang rakan telah bertanya kepada saya mengenai faraid atau pembahagian harta pusaka menurut Islam. Memang tidak dinafikan lagi ilmu faraid ini semakin tidak popular dikalangan orang Melayu kerana ada di antara mereka berpendapat bahawa adat mereka tidak boleh ditinggalkan dan pembahagian harta mengikut adat mesti diteruskan. Ini disebabkan oleh mereka yang tidak percaya bahawa agama Islam itu syumul dan segala ketetapan Allah itu maha adil dan saksama. Saya telah mempelajari serba sedikit mengenai ilmu faraid ini semasa di tingkatan 6 dahulu dalam subjek syariah, agak minat juga tajuk ini kerana banyak pengiraan. Jadi ,berikut adalah pengenalan serba ringkas mengenai ilmu faraid.

PENGERTIAN FARAID

Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan di bahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:

1. Tanah
2. Bangunan (rumah).
3. Barang kemas (emas, perak dll).
4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll


CARA PENGAMBILAN HARTA PUSAKA

Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

1. Ashabul-Furud

Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah

Merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan (1) mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

(a) Asabah Binafsih
(b) Asabah Bil Ghoir
(c) Asabah Maal Ghoir.

(a) Asabah Binafsih
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

(b) Asabah Bil Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta, atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.

(c) Asabah Maal Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

3. Dhawil-Arham

Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati. Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu: Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

(a) Hijab Nuqshon
Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.

(b) Hijab Hirman
Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 11)

Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka) anak-anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak laki-laki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperolehi separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam daripada harta yang ditinggalkan jika orang yang meninggal itu mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya sahaja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa antara mereka yang lebih dekat (banyak) manafaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(an-Nisa : 11)

ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 12)

“Dan bagimu (suami-suami) seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah di penuhi wasiat yang mereka buat atau dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperolehi seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki atau perempuan, yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki(seibu sahaja), atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja) maka bagi masing-masing kedua-dua saudara itu memperolehi seperenam daripada harta. Tetapi jika saudara-saudara itu lebih daripada mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat seorang, maka sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.”
(an-Nisa :12)

ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 176)

“Mereka meminta fatwa kepada kamu (tentang kalaalah). Katakanlah Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalaalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan dia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua daripada harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki laki, mempusakai (seluruh harta saudara perempuan) jika dia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak dua bahagian saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(an-Nisa : 176)

SENARAI AHLI-AHLI WARIS YANG LAYAK MENERIMA HARTA PUSAKA

Terdapat 15 ahli waris dari pihak lelaki dan 10 ahli waris dari dari pihak perempuan yang utama dan layak menerima harta pusaka. Waris dari pihak lelaki seperti berikut:

1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki dari anak lelaki
3. Bapa
4. Datuk
5. Saudara lelaki seibu sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Saudara lelaki seibu
8. Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
9. Anak saudara lelaki dari seibu atau sebapa
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
13. Sepupu dari bapa saudara sebapa
14. Suami
15. Hamba sahaya

Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga orang sahaja yang layak iaitu:
1. Bapa
2. Anak lelaki
3. Suami

Ahli-ahli waris perempuan yang layak menerima harta pusaka iaitu:
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan dari anak lelaki
3. Ibu
4. Nenek sebelah ibu
5. Nenek sebelah bapa
6. Saudara perempuan seibu sebapa
7. Saudara perempuan seibu
8. Saudara perempuan sebapa
9. Isteri
10. Petuan perempuan bagi hamba sahaya

Jika kesemua ahli waris diatas wujud, hanya 5 orang yang layak:
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan dari anak lelaki
3. Ibu
4. Saudara perempuan seibu sebapa
5. Isteri

Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup, maka keutamaan akan diberikan kepada hanya lima ahli waris berikut:
1. Bapa
2. Ibu
3. Anak Lelaki
4. Anak Perempuan
5. Suami/Isteri


KADAR DAN SYARAT BAGI SETIAP AHLI WARIS

Berikut adalah bahagian yang diperolehi oleh ahli waris mengikut syarak..

Bahagian Diperolehi Suami kepada simati
1/2 Tidak mempunyai anak ATAU
Tidak mempunyai cucu dari anak lelaki
1/4 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki


Bahagian diperolehi Isteri kepada simati
1/4 Tiada anak ATAU
Tiada cucu dari anak lelaki
1/8 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki


Bahagian Diperolehi Anak Perempuan Simati
1/2 Hanya seorang sahaja DAN tidak ada anak lelaki
2/3 2 orang anak perempuan atau lebih DAN tiada anak lelaki
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai anak lelaki - mendapat separuh dari bahagian anak lelaki


Bahagian Diperolehi Cucu Perempuan Anak Lelaki Simati
1/2 Mempunyai seorang sahaja DAN tiada anak
2/3 Mempunyai 2 orang atau lebih DAN tiada anak
1/6 Mempunyai seorang atau lebih jika bersama-sama dengan
seorang anak perempuan
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai cucu lelaki - mendapat separuh dari bahagian cucu lelaki daripada anak lelaki.
Terhalang disebabkan mempunyai anak lelaki ATAU 2 anak perempuan
atau lebih


Bahagian Diperolehi Bapa Simati
1/6 Mempunyai anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki
1/6 dan Asabah Mempunyai anak perempuan ATAU cucu perempuan
dari anak lelaki
ASABAH Tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki


Bahagian Diperolehi Ibu Kepada Simati
1/6 Mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU mempunyai dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 Tidak mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU
tiada dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 dari baki Mempunyai bapa serta suami ATAU isteri


Bahagian Diperolehi Datuk kepada simati
Sama seperti bapa Hanya mendapat bahagian sekiranya tiada bapa


Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Seibu Sebapa kepada simati
1/2 Tiada anak, cucu, bapa DAN tiada waris yang
menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih, tiada anak, cucu, bapa DAN ahli yang menjadikannya Asabah
ASABAH Mempunyai saudara lelaki kandung ATAU datuk.
Terhalang oleh disebabkan adanya bapa, ATAU anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki


Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Sebapa
1/2 Hanya seorang, tiada anak, cucu,saudara kandung, bapa
DAN tiada ahli yang menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih dengan syarat tiada cucu lelaki,
saudara kandung, bapa DAN tiada ahli yang menjadikannya
Asabah
1/6 Seorang atau lebih mempunyai saudara perempuan seibu
sebapa
Asabah disebabkan oleh saudara lelaki sebapa ATAU datuk
Terhalang Oleh
1. Bapa
2. Dua orang atau lebih saudara perempuan kandung
3. Seorang saudara perempuan kandung dan mempunyai
anak perempuan dan cucu perempuan
4. Saudara lelaki kandung


Bahagian Diperolehi Saudara Seibu (Lelaki/Perempuan)
1/6 Hanya seorang, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
1/3 Dua atau lebih, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
Terhalang oleh Disebabkan adanya bapa, datuk, anak dan cucu dari anak lelaki



0 comments

Profile

Image Hosted by ImageShack.us
Dilahirkan pada tanggal 17 nov 1987. Mendapat pendidikan awal di SK Saint Aidan dan SK Tampin, kemudian menyambung pada peringkat menengah di SMRA Repah, SMA Sains Kuala Pilah dan SMK Tampin, Menduduki STPM di SMKA Sheikh Haji Mohd Said dan kini berada dalam tahun akhir di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Ditaklifkan sebagai Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan Universiti Malaya bagi sesi 2009/2010.

Ruang Bicara

    Comments